fbpx

Saat Proton pernah disumbat enjin ‘VTEC Malaysia’ – Imbas Engear

proton waja petronas e01 thumb

SEBENARNYA dalam industri automotif negara kita, banyak yang boleh dibanggakan. Antaranya ialah Petronas E01 yang penulis rasa tak ramai antara kita tahu, lebih-lebih lagi generasi TikTok.

Sebelum Proton CamPro, Petronas E01 merupakan program pembinaan enjin sendiri yang pertama Malaysia, bermula pada 1997. Ianya tidak pernah diproduksikan untuk pengguna biasa.

Jadi, takhta untuk enjin pertama yang dibangunkan dalam negara pergi kepada CamPro yang mula dikeluarkan pada 2004.

E01 menunjukkan banyak potensi, tambahan lagi pembangunannya melibatkan pasukan Formula Satu (F1) Sauber-Petronas. Jadi, apa yang sebenarnya berlaku? Mari kita imbas sedikit.

Formula baharu

Penyertaan Petronas dalam F1 pada 1995 merupakan sebuah usaha untuk memperkenalkan namanya sebagai syarikat petroleum Malayaisa di persada dunia dan untuk mengembangkan perniagaan lebih dari sekadar menjual minyak.

Tahun 1995 nama dan logo Petronas mula terpahat pada kereta-kereta lumba Sauber.

Pasukan ini bukanlah yang teratas dalam F1 seperti Ferrari, McLaren atau Williams, tetapi ia tetap satu pencapaian membanggakan bagi rakyat Malaysia untuk melihat jenama mereka pada kereta-kereta lumba terpantas di dunia.

Penajaan Petronas kemudiannya menjadikan syarikat ini sebagai pembekal enjin kepada pasukan Switzerland ini pada 1997.

Tahun 1997 juga bermulanya pembangunan projek enjin komersial pertama Malaysia – dikira “enjin nasional”. Seramai 15 jurutera Petronas terlibat dalam projek ini bersama pasukan dari Sauber, dan pembangunan dilakukan di Switzerland dan Malaysia.

Pembangunannya terbahagi kepada dua fasa dimana jurutera-jurutera Petronas telibat sepenuhnya dalam analisis dan reka bentuk enjin. Pada Februari 1998, upacara menghidupkan enjin diadakan diikuti dengan ujian di litar Pasir Gudang empat bulan kemudian.

Prestasi dan versatiliti

Pada bahagian akhir Fasa A, dua buah Lotus Elise Series I dipasang dengan enjin Petronas E01. Enjin ini mempunyai spesifikasi 2.0-liter suntikan bahan api, naturally-aspirated, 4-silinder, dengan kemampuan menjana 204.3hp pada 7,300rpm dan 203Nm tork pada 5,300rpm.

Ianya dibina dari aluminium dan mempunyai sistem Variable Valve Timing (VVT), jadi beratnya hanya sekitar 108.9kg. Angka-angka ini bermakna jurutera Petronas berjaya melepasi sasaran mereka iaitu output 200hp/200Nm dan berat 120kg.

Dilihat pada output dan karakteristiknya, ramai yang tidak dapat mengelak dari membandingkan enjin E01 ini dengan K20A Honda. Malah ada yang menggelarnya VTEC Malaysia, memandangkan output lebih 200hp pada sesaran 2.0-liter yang dikeluarkan itu.

Tapi harus diingat, matlamat lain enjin ini ialah untuk menjadi versatil, bukan berkuasa semata-mata. E01 boleh dipasang condong 15 darjah ke depan atau ke belakang dalam ruang enjin. Untuk membuktikannya, enjin ini kemudiannya telah dipasang pada Proton Perdana, Satria GTi dan Waja.

Enjin ini juga boleh dikonfigurasikan menjadi 1.8- atau 2.2-liter. Ia menandakan era baharu dalam industri automotif negara, tetapi seperti pencapaian-pencapaian lain, terdapat halangan di depan menanti E01.

Tiada sokongan

Hakikat bahawa sebuah syarikat minyak seperti Petronas mampu menghasilkan enjin sebegitu berkuasa sedikit-sebanyak memberi tempias kepada Proton. Pengeluar kereta nasional pertama itu telah me-rebadge kereta Mitsubishi dan menggunakan teknologinya selama lebih 10 tahun pada masa itu.

Walaupun E01 mungkin seperti satu pilihan realistik untuk siri model-model berprestasi tinggi Proton dan beberapa model telah dipinjamkan kepada Petronas semasa peringkat prototaip, pengeluar itu nampaknya menolak tawaran Petronas. Sebaliknya, mereka memilih enjin mereka sendiri.

Kereta-kereta Proton dengan enjin E01 telah digunakan untuk acara-acara istimewa termasuklah menjadi marshal untuk beberapa perlumbaan F1 Malaysian Grand Prix.

Perkembangan agak suram mengenai enjin ini menjelang millennium. Proton menolak, Perodua pula tidak nampak seperti berminat mengambilnya. Maka Petronas mula mencari pembeli dari luar negara.

Pada 2005, gergasi minyak itu berjaya mencari pembeli paten E01. Sebuah Letter of Intent (LOI) dibuat antara Petronas dengan pengeluar kereta China Nanjing Automobile Corporation (NAC) dan Brilliant Culture Group (BCG) Limited.

Tetapi setahun kemudian, Proton pula mula menyedari mengenai E01 ini, maka mereka menandatangani MoU (perjanjian persefahaman) dengan Petronas.

Tutup ‘buku’

Sejajar peradaran masa, Petronas semakin kurang memfokus kepada pembangunan enjin. Sejak pengenalan E01, syarikat minyak itu juga telah menghasilkan satu-satunya superbike, iaitu Petronas FP1 selain dilaporkan membangunkan enjin turbo berkapasiti 2.0- dan 2.2-liter.

Selepas pasukan Sauber F1 dibeli oleh BMW pada 2006, Petronas kekal sebagai penaja utama sehingga 2010 semasa pengeluar kereta Jerman itu menarik diri sepenuhnya. Petronas juga menutup divisyen pembangunan enjin mereka dengan semua paten telah dijual kepada Proton.

Era dengan Proton 

Pembelian paten E10 oleh Proton dilaporkan bernilai RM63 juta pada 2012, terdiri dari tujuh teknologi enjin berserta 117 teknologi lain.

Enjin itu sepatutnya melalui beberapa talaan khasnya untuk memastikan ia menepati piawaian Euro 6C baharu pada masa itu, kerana E01 hanya mencapai standard Euro 2.

Proton asalnya merancang mengeluarkan beberapa enjin baharu berasaskan E01 pada 2017 tetapi ianya terbantut selepas diambil-alih oleh Geely.

Kisah E01 tidak berakhir di situ, pada 2020, menurut Wapcar, isu enjin ini timbul kembali susulan dari lelongan melibatkan warisan sukan permotoran Proton. Beberapa model Proton dan Lotus yang dipasang enjin E01 kemudiannya ditarik dari lelongan.

Menarik untuk kita kenang kembali bagaimana E01 membawa potensi untuk mengubah landskap automotif negara. Tetapi sayang, tiadanya sokongan dari rakan industri membuatkan hasrat kita untuk melihat VTEC Malaysia tidak kesampaian.

Kredit gambar: KP Gasket Blogspot, Mekanika, Facebook Norhelmi Mohd Nor

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved