fbpx

Ford kembali ke F1 selepas lebih dua dekad

Red Bull Racing Ford

FORD mengumumkan bahawa ia akan membuat kemunculan semula di kancah sukan Formula 1 bermula musim 2026. Kali terakhir syarikat itu terlibat dalam sukan tersebut adalah pada 2004 sebagai pemilik pasukan Jaguar.

Pengeluar kenderaan dari Amerika Syarikat itu akan menjalinkan kerjasama dengan Red Bull Powertrains untuk membangunkan dan membekalkan enjin hibrid generasi seterusnya kepada pasukan Oracle Red Bull Racing dan Scuderia AlphaTauri sekurang-kurangnya sehingga musim 2030.

Bermula tahun ini, Ford dan Red Bull Powertrains akan memulakan kerja pembangunan unit kuasa baharu yang merangkumi motor elektrik 350 kW dan enjin pembakaran dalaman yang boleh menggunakan bahan api lestari. Ini selaras dengan peraturan teknikal baharu yang akan berkuat kuasa bermula musim 2026.

Jenama ‘Blue Oval’ itu akan membekalkan kepakaran teknikal yang melibatkan aspek pembangunan enjin pembakaran dalaman, teknologi sel bateri dan motor elektrik, perisian kawalan unit kuasa serta analitik.

“Kembalinya Ford ke Formula 1 bersama Red Bull Racing adalah mengenai hala tuju kami sebagai sebuah syarikat – kenderaan moden yang semakin moden dan berdefinisikan perisian, serta pengalaman,” kata Jim Farley, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ford Motor Company.

“F1 akan menjadi platform yang sangat menjimatkan kos untuk berinovasi, berkongsi idea dan teknologi, serta melibatkan diri dengan berpuluh juta pelanggan baharu,” tambah beliau.

Sementara itu, Honda yang merupakan pembekal enjin untuk Red Bull Racing sejak 2019, akan kekal bersama pasukan itu sehingga musim 2025.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved