fbpx

Tomica Transporter Series tampilkan Lamborghini Countach, Honda NSX dan Nissan 300ZX

tomica transporter series 08

TOMICA boleh dikira sebagai kembar Hot Wheels dan Matchbox dari Jepun, mereka menghasilkan pelbagai permainan automotif. Kini barisan terbaharu mereka menggabungkan kereta-kereta klasik yang cool dengan transporter (trak tunda pengangkut).

Melalui siri Tomica Transporter Series 2023 baharu ini, terdapat empat kombo boleh dipilih. Dua daripadanya adalah Lamborghini Countach 25th Anniversary Edition.

Countach kuning hadir dengan trak dengan ruang kargo berkotak berwarna hitam lengkap dengan tulisan Lamborghini. Bahagian belakangnya boleh dibuka dan mempunyai tanjakan untuk Countach itu naik masuk ke dalam.

Jika anda mahu melihat Countach itu sepanjang masa, set satu lagi ini mendapat trak dengan ruang tunda terbuka. Terdapat juga tanjakan di belakangnya yang membolehkan supercar itu turun dan naik dengan mudah.

Countach 25th Anniversary dilancarkan pada 1988 dengan badan yang direka semula. Ia menampilkan ruang kemasukan udara baharu di bahagian belakang untuk rupa lebih agresif. Enjin 5.2-liter V10 di belakang pemandu menghasilkan 449hp dan 500Nm tork.

Dua lagi koleksi terdiri dari kereta sports Jepun yang sama era dengan Countach, salah satunya ialah Nissan 300ZX Z32 Twin Turbo. Jentera ini mendapat gandingan trak tunda terbuka berwarna putih dengan tulisan Nissan.

300ZX lahir sezaman dengan Toyota Supra, Mitsubishi 3000GT dan Mazda RX-7. Pembeli boleh memilih enjin naturally-aspirated dan turbo, tetapi varian turbolah heronya. Ia menjana 300hp dan 384Nm tork.

Akhir sekali ialah Honda NSX Type-R berwarna hitam dengan tempat duduk merah yang boleh dilihat melalui tingkapnya. NSX ini akan diusung oleh trak pengangkut putih dengan garisan lukisan berbentuk tulisan nama dan imej kereta.

NSX Type-R tiba pada 1992 sebagai model lebih hardcore bagi sports car Honda itu yang sudah pun cukup mantap. Ianya 120kg lebih ringan dari kereta standard, malah suspensi juga lebih keras. NSX Type-R dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6 dengan sedikit perubahan pada nisbah akhir kotak gear.

Setiap kereta akan dijual pada harga 2,640 Yen (RM86.38), tetapi kami rasa ia pasti akan berharga jauh lebih mahal dari ini, disebabkan faktor-faktor cukai serta reseller.

Lihatkan Ulasan (3)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved