fbpx

BMW M2 (G87) dah masuk pasaran Malaysia – harga dari RM598,800, siap ada Pro Package

bmw m2 2023 02

HANYA beberapa bulan selepas ia diperkenalkan di peringkat global, BMW M2 serba baharu akhirnya dilancarkan di pasaran Malaysia.

Menurut BMW Malaysia, model generasi G87 itu kini boleh ditempah secara dalam talian pada harga bermula dari RM598,800 untuk versi standard dan RM642,800 bagi versi Pro Package.

Tidak seperti M3 dan M4 yang mendapat gril besar, M2 masih memakai gril ‘kidney’ bersaiz biasa cuma ia telah direka semula dan mempunyai bilah-bilah mendatar. Bahagian bampar pula menampilkan apron dan salur masuk udara berbentuk segi empat bagi membantu penyejukan enjin dan brek.

Selain itu, M2 didatangkan dengan lampu LED adaptif, sayap depan yang diperbuat daripada aluminium dan ‘kubah kuasa’ (power dome) pada bonet. Gerbang roda yang lebar diisi dengan roda aloi dwiwarna 930 M berukuran 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang.

Di belakang pula terdapat bibir spoiler yang meningkatkan ‘downforce’ serta ‘diffuser’ yang menempatkan paip ekzos berkembar.

Dari segi dimensi, M2 mempunyai ukuran panjang 4,580 mm, lebar 1,877 mm dan tinggi 1,403 mm, bermakna ia 119 mm lebih panjang, 33 mm lebih lebar dan 11 mm lebih rendah berbanding model generasi sebelum ini. Ukuran jarak roda pula bertambah sebanyak 54 mm kepada 2,747 mm.

Ruang kokpitnya pula menampilkan BMW Curved Display yang merangkumi paparan kawalan 14.9 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci. Ia mempunyai paparan spesifik M yang memuatkan BMW M iDrive generasi terkini.

Turut disertakan adalah kerusi M Sport, logo M yang bercahaya pada penyandar kepala tempat duduk hadapan, stereng M dengan balutan kulit, pedal penukar gear, butang mod M berwarna merah dan ‘head-up display’.

M2 dikuasakan oleh enjin TwinPower Turbo 3.0 liter enam silinder sebaris yang mampu menghasilkan 453 hp dan 550 Nm. Dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, jentera pacuan roda belakang ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan M Driver’s Package yang akan meningkatkan kelajuan maksimum kepada 285 km/j. Pakej ini boleh dipasang di mana-mana wakil pengedar BMW di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh mendapatkan Pro Package yang membawakan penambahan seperti berikut:

  • sistem brek M Compound dengan angkup merah
  • roda aloi berwarna hitam
  • pakej M High-gloss Shadowline dengan konten lanjutan
  • M Lights Shadowline
  • bumbung karbon
  • tali pinggang keledar M
  • trim gentian karbon
  • sistem audio Harman Kardon
BMW M2 dengan Pro Package

Pilihan warna luaran bagi M2 dan M2 Pro Package terdiri daripada Zandvoort Blue, Alpine White, Brooklyn Grey, Black Sapphire dan Toronto Red.

Untuk bahagian dalaman pula, pelanggan boleh mendapatkan Leather Vernasca berwarna hitam, Leather Vernasca hitam dengan sulaman biru dan Leather Vernasca berwarna cognac dengan sulaman dekor.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved