fbpx

Renault Megane RS Ultime model terakhir dengan lencana Renaultsport

renault megane rs ultime 2023 14

INILAH dia tuan-tuan dan puan-puan, model terakhir Renaultsport yang memakai lencana RS. Renault Megane RS Ultime dilancarkan di Tokyo Auto Salon 2023 sebagai ucapan selamat tinggal kepada legasi nama RS.

Ini kerana model-model prestasi Renault akan datang bakal duduk di bawah jenama Alpine. Megane RS Ultime yang terakhir ini akan mula ditawarkan dengan varian Trophy. Hanya 1,976 unit bakal dikeluarkan, sebagai tanda tahun Renault Sport mula diasaskan.

Apa pun, hidup mesti diteruskan. Megane RS Ultime ditawarkan dengan warna Star Black, Pearl White, Sirius Yellow, dan Tonic Orange. Hot hatch ini juga mendapat grafik hitam matte pada pintu depan, fender, bumbung, hud, dan bampar belakang.

Selain itu, monogram “Ultime” disertakan pada bahagian depan, sementara kemasan hitam dibuat pada pemegang pintu, cermin sisi, bingkai tingkap, diffuser, rim, dan semua logo. Berbanding Megane biasa, versi Ultime mendapat kit badan lebih lebar di depan (60mm) dan belakang (45mm).

Masuk ke dalam pula, Megane Ultime dilengkapi tempat duduk bucket Recaro balutan Alcantara dengan logo RS. Renaultsport juga memberikan plat nombor besi di konsol tengah untuk mengingatkan pemilik bahawa mereka memandu edisi terhad yang istimewa.

Plat ini ditandatangani oleh pemandu ujian, Laurent Hurgon yang telah memandu Megane RS dan memecahkan rekod catatan masa di Nurburgring, Suzuka, dan Spa-Franchorchamps untuk kenderaan pacuan roda-depan.

Renault Megane RS Ultime akan mengekalkan enjin 1.8-liter turbo petrol dengan 300hp dan 420Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda dengan pilihan manual dan automatik EDC, kedua-duanya dengan 6-kelajuan.

Rimnya adalah unit 19-inci Fuji Light, dibaluti dengan tayar Bridgestone Potenza S007 semi-slick yang dibangunkan khas untuk Trophy R.

Ciri lain di bahagian casis termasuklah brek Brembo dengan kaliper merah, casis Cup yang lebih rendah, sistem stereng roda-belakang, dan LSD mekanikal Torsen.

Renault Megane RS Ultime ini dijangka mula dijual pada musim bunga tahun ini, menggantikan RS dan RS Trophy.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved