fbpx

BMW iX xDrive50 baharu kini di Malaysia – 523 hp, jarak operasi 630 km, harga dari RM546,800

04. The New BMW iX xDrive50 Sport

BMW Malaysia secara rasminya mengumumkan kehadiran BMW iX xDrive50 Sport baharu ke pasaran tempatan, setahun selepas pelancaran iX xDrive40 dan iX xDrive40 Sport. Harga jualan model ini bermula dari RM546,800.

Untuk bahagian luaran, varian baharu itu menampilkan set roda aerodinamik BMW Individual 1021 multiwarna bersaiz 22 inci dengan gilapan 3D, di samping angkup brek bersaiz 17 inci berwarna biru.

Pilihan warna luaran yang ditawarkan adalah Mineral White, Alpine White Metallic, Black Sapphire Metallic, Sophisto Grey Metallic dengan Brilliant Effect, Phytonic Blue Metallic, dan Blue Ridge Mountain Metallic.

Dua warna baharu iaitu Individual Storm Bay Metallic dan Aventurine Red Metallic boleh didapati dengan bayaran tambahan sebanyak RM6,200.

Untuk ruang dalaman, pelanggan boleh memilih antara Interior Design Atelier dalam warna Mocha atau Hitam, atau Interior Design Suite dalam warna Amido atau Castanea dengan bayaran tambahan sebanyak RM17,300.

Antara kelengkapan yang tersedia termasuklah BMW Live Cockpit Professional dengan paparan instrumen melengkung bersaiz 12.3 inci dan skrin tengah 14.9 inci.

Selain itu, terdapat juga ciri keselesaan seperti kerusi multifungsi bagi pemandu, ruang pengecasan tanpa wayar dan sistem pendingin hawa empat zon.

Turut disertakan adalah sistem audio Harman Kardon dan BMW Iconic Sounds Electric yang menzahirkan suasana bunyi serba imersif dan bertaraf premium.

Dari segi prestasi, iX xDrive50 Sport yang dikuasakan oleh motor elektrik berkembar dengan output mencecah 523 hp (385 kW) dan 765 Nm mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.6 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

Penggunaan pek bateri besar berkapasiti 111.5 kWj membolehkan SUV elektrik premium ini mencapai jarak operasi sejauh 630 km (mengikut kitaran WLTP) dengan satu cas penuh.

Bercakap tentang pengecasan, model ini hanya memerlukan 35 minit untuk pengecasan dari 0 hingga 80% menerusi pengecas pantas DC. Untuk Wallbox AC 11 kW pula, ia memerlukan 10 jam 45 minit untuk pengecasan dari 0 hingga 100%.

Pemilik iX xDrive50 Sport dapat menikmati akses pengecasan di lebih 610 buah fasiliti pengecasan di seluruh negara yang dikuasakan oleh para pembekal solusi pengecasan EV tempatan yang bekerjasama dengan BMW Group Malaysia.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved