fbpx

Subsidi bersasar: Kerajaan akan guna data bersepadu, bukan cc semata-mata

harga bahan api petrol minyak
51892714 - object, fuel, oil, tank and transport concept - close up of hand holding gasoline hose at gas station

KERAJAAN akan menggunakan pangkalan data bersepadu dan komprehensif membabitkan data daripada Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mekanisma pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95.

Gambar oleh: Malay Mail

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau ingin memperbetulkan salah faham yang mengatakan kerajaan akan hanya menggunakan pangkalan data JPJ dan merujuk kepada kuasa kuda (cc) kenderaan sahaja untuk pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

Katanya, data JPJ itu hanyalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

“Saya sudah nyatakan dengan jelas tempoh hari, data JPJ itu adalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

“Kita juga ada data Bank Negara, LHDN, Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain kajian dibuat universiti tempatan yang akan dirujuk.

“Jadi kita harus melihat kepada semua data berkenaan dan bukan hanya data JPJ sahaja diperlukan,” tambahnya.

Menurutnya, memang antara data yang akan dirujuk adalah data JPJ, namun perlu ada pusat data yang lebih bersepadu dan komprehensif untuk kerajaan menjayakan pemberian subsidi bersasar dengan berkesan.

“Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan cc kenderaan sahaja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95,” katanya.

Sabtu lalu, Salahuddin dilaporkan memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Beliau dilaporkan berkata, itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi, minggu lalu.

Kami kemudian ada menambah bahawa pemberian subsidi bersasar berdasarkan kuasa kuda (cc) sahaja tidak tepat, malah kuasa kuda juga tidak sama dengan cc. Dua perkara berbeza.

Diharapkan kerajaan dan kementerian berkaitan akan dapat mencari solusi terbaik dan paling tepat agar hanya golongan yang layak sahaja mendapat subsidi petrol bersasar ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved