fbpx

Yamaha masih mahu bangunkan sistem imbangan kendiri

yamaha amsas 03

BANYAK pengeluar motosikal telah mencuba untuk membangunkan jentera yang tungganan kendiri atau imbangan kendiri. Honda, BMW, Harley-Davidson dan Yamaha semua dilaporkan pernah memasukkan elemen robotik dalam tunggangan motosikal mereka.

Tetapi hanya Yamaha yang nampaknya terus gigih dengan teknologi ini, sama ada para penunggang suka atau tidak. Ia bermula dengan Motobot pada 2015, dan diganti dengan Motoroid pada 2017.

Motobot dan Motoroid mampu menggantikan manusia mengendalikan sebarang jenis motosikal, serta mampu ‘menunggang’ di litar pada kelajuan melebihi 200km/j. Malah Motoroid dikatakan mampu menunggang di litar lebih pantas dari Valentino Rossi.

Kini Yamaha mempertontonkan satu teknologi yang lebih praktikal dan mungkin boleh benar-benar diproduksikan. Yamaha R3 yang nampak standard ini menggunakan kuasa elektrik dan dilengkapi dengan sistem imbangan kendiri.

Sistem ini dipanggil Advanced Motorcycle Stability Assist System, atau AMSAS. Ia mempunyai pengukur intertia enam-paksi, dengan input hendal automasi yang mengimbang dengan sendiri pada kelajuan bawah 5km/j.

Yamaha menyiarkan satu video menunjukkan seorang penunggang di atas motosikal ini, bergerak perlahan tanpa tangan memegang hendal, dan elektronik mengawal motosikal itu.

Idea di sebalik teknologi ini sebenarnya ialah keselamatan. Yamaha berkata 70 peratus dari kemalangan motosikal berlaku dalam tempoh dua saat selepas detik punca. Ia mendakwa tempoh ini tidak cukup untuk penunggang bertindak balas mengelak perlanggaran, dan dalam kes ini, AMSAS mampu membantu.

Walaupun teknologi ini nampak tidak begitu diperlukan untuk kebanyakan penunggang, ia jelas menunjukkan bahawa pengeluar-pengeluar utama sangat menitikberatkan keselamatan. Sama ada teknologi ini akan benar-benar sampai ke motosikal dalam pasaran, masih belum dapat dipastikan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved