fbpx

Hennessey VelociRaptoR 1000 adalah F-150 Raptor yang disuntik steroid

hennessey-velociraptor-1000-release-high-5

NAMA Hennessey sememangnya sudah sinonim dengan jentera-jentera ‘gila’ yang berkuasa tinggi. Terbaru, tuner yang berasal dari Texas, Amerika Syarikat itu telah memperkenalkan VelociRaptoR 1000 yang asalnya merupakan sebuah Ford F-150 Raptor.

Kalau nak diikutkan, F-150 Raptor standard sudah cukup berkuasa dengan enjin 5.2-liter supercharged V8 yang menjana 700 hp dan 867 Nm namun angka ini nampaknya tidak cukup tinggi untuk Hennessey.

Oleh itu, Hennessey telah menaik taraf enjin berkenaan dengan unit supercharger yang lebih besar (3.8 liter berbanding 2.65 liter), tali sawat supercharger baharu, sistem ambilan udara beraliran tinggi, saluran bahan api baharu, penyuntik bahan api lebih besar dan bermacam lagi.

Hasil daripada naik taraf ini masih belum diketahui namun berdasarkan nama model ini, jelas bahawa syarikat talaan terkemuka itu mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 hp.

Sudah tentu, transformasi F-150 Raptor kepada VelociRaptoR 1000 tidak akan lengkap tanpa modifikasi pada bahagian luaran dan dalaman. Selain grafik badan, jentera ini juga mendapat bampar jenis bolt-on, lampu LED, serta rim 20 inci yang dipadankan dengan tayar 37 inci.

Bukan itu sahaja, setiap unit akan didatangkan dengan plak nombor siri pengeluaran. Untuk bahagian dalaman, penulis jangkakan yang ia boleh dikustom mengikut citarasa pelanggan seperti mana-mana penawaran Hennessey yang lain.

VelociRaptoR 1000 sudah dibuka untuk tempahan namun harga pakej naik taraf ini masih belum diketahui. Untuk rujukan, harga F-150 Raptor bermula dari $76,775 (RM340,612).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved