fbpx

Tragedi tanah runtuh: Jalan Batang Kali ditutup setahun

tanah runtuh
Gambar oleh: Malay Mail

Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, tempat berlakunya tragedi tanah runtuh yang meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, meskipun kejadian tanah runtuh itu tidak menjejaskan jalan terbabit, namun ia perlu ditutup bagi mengelak sebarang risiko.

Bagaimanapun beliau berkata, JKR ada membuat jalan alternatif untuk laluan pengguna di kawasan terjejas.

“Jalan tu sebenarnya ok, tapi kita tak berani, oleh sebab itu, kita masih tutup hinggalah pembaikan cerun dibuat,” katanya.

“Biasanya pembaikan cerun setahun baru siap, tapi buat masa ni kita ada jalan alternatif… jalan alternatif akan dibuat oleh JKR.”

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh, Wan Ahmad Uzir berkata, ia berlaku disebabkan terdapatnya aliran air bawah tanah yang wujud secara semula jadi.

Katanya, berdasarkan siasatan oleh JKR, tiada sebarang aliran pengairan haram daripada pemilik tapak perkhemahan berkenaan.

Gambar oleh: Malay Mail

Kelmarin, JKR berkata, siasatannya mendapati, dua runtuhan cerun berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian tanah runtuh telah meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu.

Dapatan awal itu diperoleh Pasukan Forensik dari Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang melaksanakan pemeriksaan awal di lokasi kejadian.

Pemeriksaan visual pada lokasi jalan dan cerun di seksyen berkenaan mendapati longkang jalan sedia ada dalam keadaan bersih dan kering serta tidak tersumbat, yang mana menunjukkan tiada masalah pada sistem perparitan jalan.

Tambah jabatan itu, berdasarkan hasil penemuan itu, adalah dijangka ketepuan tanah dan tekanan air liang tanah yang tinggi akibat pengumpulan air bawah tanah pada bahagian bawah cerun di kawasan perkhemahan telah melemahkan kaki cerun jalan B66 dan seterusnya menyebabkan kegagalan retrogresif kepada cerun jalan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved