fbpx

Hyundai Kona generasi kedua didedahkan – EV, hibrid dan ICE, wajah ala Staria

Hyundai Kona generasi kedua 02

SETELAH hampir lima tahun berada dalam pasaran, Hyundai Kona kini menerima penambahbaikan menyeluruh untuk model generasi kedua yang menyaksikan ia tampil dengan rekaan futuristik tidak ubah seperti Staria.

Bukan itu sahaja, SUV kompak ini juga menawarkan tiga pilihan trenkuasa iaitu elektrik (EV), hibrid (HEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Menurut Hyundai, Kona baharu dibangunkan sebagai EV terlebih dahulu sebelum ia disesuaikan untuk HEV dan ICE. Seperti model sedia ada, ia juga akan ditawarkan dalam versi N Line yang berkemungkinan besar akan kekal dengan ICE.

Seperti yang boleh dilihat, rekaan model generasi baharu ini jelas diinspirasikan oleh Staria dan Grandeur dengan jalur lampu nyalaan siang LED yang melintang dan lampu utama yang ditempatkan pada sudut kiri dan kanan bampar.

Setiap varian juga didatangkan elemen-elemen penggayaan yang tersendiri. Sebagai contoh, varian EV mempunyai efek piksel pada jalur lampu, gril, bampar belakang dan rim, manakala varian ICE dan HEV berkongsi rekaan bampar rugged, skid plate dan kemasan hitam pada gerbang roda.

Sementara itu, varian N Line pula mendapat spoiler, bumbung dan cermin sisi hitam, rekaan bampar depan dan belakang yang lebih agresif, rim aloi 19 inci, skirt sisi berwarna perak dan ekzos berkembar.

Kona generasi kedua mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar berbanding model sedia ada. Untuk Kona EV, ukuran panjangnya kini bertambah sebanyak 150 mm kepada 4,355 mm, manakala lebar bertambah sebanyak 25 mm dan tapak roda bertambah sebanyak 60 mm.

Masuk ke dalam, terdapat paparan berkembar berukuran 12.3 inci dan pencahayaan ambien yang melahirkan suasana ‘berteknologi tinggi’. Tuil gear pula telah dialihkan ke kolum stereng untuk mendapatkan konsol tengah yang lebih kemas.

Perincian lanjut Kona generasi kedua, termasuk mengenai trenkuasa, akan didedahkan dalam bulan-bulan mendatang.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved