fbpx

Toyota Veloz – 5,200 tempahan diterima, pelancaran tidak lama lagi

toyota veloz side 2022

UMW Toyota Motor  (UMWT) mengumumkan bahawa mereka telah menerima 5,200 tempahan untuk Toyota Veloz. Jika anda masih ingat, MPV tujuh tempat duduk itu dibuka untuk tempahan pada 24 Jun lalu.

Tarikh pelancaran Veloz masih belum diumumkan, namun menurut UMWT, kembar kepada Perodua Alza itu akan membuat kemunculan rasminya di pasaran Malaysia “tidak lama lagi”.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, “Pengenalan Toyota Veloz akan menjadi detik penting bagi kami dan kami yakin ia akan menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia dengan tawaran premium bernilai untuk wang, ciri-ciri canggih dan sudah tentu, kualiti dan kebolehpercayaan Toyota yang terkenal.”

Seperti Alza, Veloz dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder 2NR-VE dengan Dual VVT-i. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi D-CVT yang memacu roda depan.

Ditawarkan dalam varian tunggal dengan harga jangkaan sekitar RM95,000, ia didatangkan standard dengan lampu LED, rel bumbung, brek parkir elektronik, paparan multi-info berukuran tujuh inci, paparan audio sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem keselamatan Toyota Safety Sense.

Prestasi jualan Ogos

Dalam pada itu, UMWT turut mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Ogos 2022, di mana mereka berjaya menjual sebanyak 8,961 unit kenderaan Toyota dan 130 unit kenderaan Lexus, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,091 unit. Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding 6,637 unit yang direkodkan pada Julai 2022.

Sementara itu, jumlah jualan keseluruhan untuk tahun ini setakat Ogos adalah sebanyak 61,639 unit bagi jenama Toyota dan Lexus, naik 62 peratus berbanding 38,085 unit yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Fortuner, Hilux dan Innova baharu

UMWT juga akan memperkenalkan model siri Innovative International Multi-Purpose Vehicle (IMV) yang dipertingkatkan iaitu Fortuner dan Hilux pada September, dan Innova pada Oktober. Tempahan untuk model-model siri IMV itu telah pun dibuka pada 1 September lalu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved