fbpx

Isuzu Malaysia lancar barisan trak Giga baharu, ada 5 model tugas berat dan prime mover

Isuzu Giga baharu

Isuzu Malaysia baru-baru ini melancarkan rangkaian terbaharu trak Giga generasi seterusnya yang terdiri daripada lima model trak tugas berat dan prime mover.

Menurut syarikat itu, model-model berkenaan menawarkan enjin dengan kuasa yang optimum, binaan kukuh serta reka bentuk yang aerodinamik. Reka kabinnya pula mengetengahkan konsep mesra pemandu bagi meningkatkan aspek keselesaan dan keselamatan.

Lima model baharu ini terdiri daripada siri ‘C’ dan ‘E’ iaitu trak rigid CYZ420 tujuh-kelajuan dengan transmisi manual, manakala Prime Mover EXR420 4×2 dan EXZ460 6×4 masing-masing boleh didapati dalam dua pilihan model, iaitu dengan transmisi manual dan Automated Manual Transmission (AMT) 16-kelajuan.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Atsunori Murata berkata, “ Rangkaian trak-trak terbaharu Isuzu Giga ini mengetengahkan konsep rekaan yang pertama seumpamanya bagi menambah baik aspek kecekapan, keselesaan dan keselamatan.”

Menurut beliau lagi, Malaysia merupakan negara ketiga di peringkat global selepas Jepun dan China, dan merupakan negara yang pertama di pasaran Asia Tenggara menerima rangkaian trak-trak terbaharu Isuzu Giga.

Dibangunkan untuk operasi berat dan mencabar seperti dalam sektor pembinaan, pengangkutan berat dan penghantaran dalam muatan yang besar, trak Giga dikuasakan oleh enjin 15.6-liter 6WG1 dengan standard Euro 3 yang berkuasa 420 dan 460 hp.

Sstem keselamatan pula terdiri daripada platform Isuzu Safety Plus yang menawarkan pelbagai ciri keselamatan utama seperti sistem brek anti-kunci (ABS), beg udara pemandu SRS dan Brakes Override Accelerator (BOA).

Sementara itu, kabin didatangkan dalam bentuk kubik bagi mendapatkan prestasi aerodinamik terbaik dalam kelasnya, selain membantu mengurangkan kadar pekali seretan untuk penyejukan, keselamatan dan penggunaan bahan api lebih baik.

Ruang dalaman menampilkan reka bentuk ergonomik yang lebih luas, serta  ciri-ciri yang mesra pemandu. Antaranya adalah tempat duduk berprestasi tinggi yang diintegrasikan dengan tali pinggang keledar dalam model prime mover.

Dihasilkan oleh syarikat terkenal Jerman iaitu Isringhausen, ia dilengkapi dengan ventilasi sejuk dan pemanas, fungsi boleh laras pelbagai arah, tetapan bahagian bahu, sokongan lumbar dan macam-macam lagi.

Turut disertakan adalah papan pemuka dilengkapi dengan monitor LCD multi-info bersaiz 4 inci yang memaparkan
pelbagai maklumat penting kepada pemandu seperti bantuan pemanduan, transmisi, dan utiliti.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved