fbpx

Toyota Sequoia serba baharu pengganti Land Cruiser di Amerika Utara – 3.5 V6 dengan 437hp, platform TNGA-F

toyota sequoia 2022 06

DI negara-negara Timur Tengah dan Asia, Toyota Land Cruiser mungkin masih mendapat permintaan yang memberasangkan namun di Amerika Syarikat, SUV besar itu akan dikeluarkan dari pasaran akibat jualan yang merudum.

Jadi, apakah yang akan menggantikannya? Memperkenalkan, Toyota Sequoia serba baharu.

Model ini sebenarnya sudah memasuki generasi ketiga dan kali ini, ia tampil dengan platform TNGA-F yang turut digunakan oleh Tundra, serta ‘nadi’ baharu.

Apa yang dimaksudkan adalah trenkuasa hibrid i-Force Max yang merangkumi enjin 3.5-liter twin-turbo V6 dan sebuah motor generator yang diletakkan di antara enjin dan transmisi.

Gandingan ini menghasilkan 437hp dan 790Nm yang disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10-kelajuan.

Sequoia boleh didapati dalam lima varian iaitu SR5, Limited, Platinum, TRD Pro dan Capstone. Kesemuanya ditawarkan dengan pilihan sistem pacuan dua roda (2WD) atau empat roda (4WD) kekal, namun varian TRD Pro hanya tersedia dengan transmisi 4WD.

Jentera ini dilengkapi dengan sistem suspensi bebas pada bahagian depan yang dipadankan dengan stereng kuasa elektronik untuk rasa pengendalian yang lebih baik.

Di belakang pula, terdapat suspensi multi-link moden. Pelanggan yang menunda secara kerap boleh mendapatkan sistem suspensi udara dan peredam adaptif yang ditala khas untuk tugas itu.

Bercakap tentang tunda, Sequoia boleh menarik beban seberat sehingga 4,082kg, yang mana menurut Toyota, 22 peratus lebih tinggi berbanding model sebelum ini.

Untuk memudahkan tugas, pelanggan boleh mendapatkan pakej Tow Tech yang merangkumi ciri Trailer Backup Guide dan Straight Path Assist.

Bukan itu sahaja, versi 4WD bagi sesetengah varian juga boleh dilengkapkan dengan pakej TRD Off-Road.

Pelanggan yang memilih pakej ini akan mendapat differential belakang, sistem Multi-Terrain Select, Downhill Assist Control, Crawl Control dan penyerap hentak Bilstein.

Dari segi penampilan, bahagian depan Sequoia tidak ubah seperti kembar trak pikapnya dengan lampu utama dengan lampu nyalaan siang berbentuk T dan gril besar dengan kemasan berbeza mengikut varian. Rim didatangkan dalam saiz 18- hingga 20-inci.

Setiap varian Sequoia mempunyai tiga barisan tempat duduk, namun apa yang membezakan antara varian adalah tempat duduk barisan kedua yang menampilkan sama ada tempat duduk kapten atau tempat duduk jenis bangku.

Tempat duduk barisan ketiga boleh digelongsor ke depan atau belakang sehingga enam inci. Toyota turut memperkenalkan satu ciri baharu iaitu sistem rak boleh laras yang boleh disusun dalam pelbagai posisi bergantung kepada keperluan kargo.

Selain itu, antara kelengkapan lain yang disertakan termasuklah kluster instrumen digital berukuran 12.3-inci, skrin sentuh sistem infohibur berukuran lapan atau 14-inci dan pakej keselamatan Toyota Safety Sense 2.5.

Sequoia akan dilancarkan di Amerika Syarikat pada musim panas tahun ini dan menurut laporan, ia juga akan memasuki pasaran-pasaran pemanduan sebelah kiri lain yang terpilih. Bagaimanapun, harga masih belum diumumkan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved