fbpx

Steve Jenny: Inilah orang yang bertanggungjawab pandu uji setiap Bugatti

bugatti steve jenny 03

SETIAP Bugatti yang dihasilkan di Molsheim dibina dengan penuh teliti bagi memastikan semua komponen berfungsi dengan sempurna.

Persoalannya, siapakah insan bertuah yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan setiap unit Veyron, Chiron dan Divo mampu beraksi pada tahap optimum sebelum ia diserahkan kepada pemiliknya?

Memperkenalkan, Steve Jenny. Dibesarkan di Alsace, sebuah daerah di timur Perancis, Jenny telah dilantik sebagai pemandu uji rasmi bagi Bugatti sejak 2004, iaitu semasa Veyron masih dalam fasa prototaip lagi. Antara tugasan utama beliau adalah melakukan ujian dinamik dan pemeriksaan akhir.

Ya, memandu uji kereta Bugatti sememangnya kedengaran seperti kerjaya impian bagi mana-mana peminat kereta, namun tugas Jenny bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah kerana ia memerlukan tahap fokus dan ketelitian yang tinggi.

Lagipun, beliau bukanlah calang-calang individu. Sejak memiliki lesen memandu, Jenny pernah membina kereta rali sendiri dan menyertai kejohanan rali sebagai pembantu pemandu.

Malah, beliau juga pernah bekerja sebagai mekanik, juruteknik ukuran serta membangunkan komponen-komponen sukan permotoran di syarikat-syarikat terkemuka seperti Mahle dan BBS.

Perjalanan Jenny dengan Bugatti bermula pada Mei 2004, apabila beliau diberitahu ada syarikat yang sedang menguji sebuah kereta yang dikatakan “laju seperti jet pejuang” di sebuah litar persendirian di Colmar.

Setelah mendapat tahu yang syarikat tersebut adalah Bugatti, beliau terus menghantar resume. Dipendekkan cerita, Jenny diterima sebagai salah seorang kakitangan terawal Bugatti.

Tugasan pertama Jenny adalah untuk mewujudkan proses pemeriksaan kualiti dan membangunkan bilik analisa dan ukuran di mana setiap kereta akan melalui proses penilaian secara menyeluruh sebelum ia diluluskan untuk penghantaran.

Kini, beliau bertanggungjawab untuk memeriksa sehingga dua buah Bugatti setiap minggu. Pertama sekali, beliau perlu memastikan yang unit itu mempunyai spesifikasi yang sama seperti yang dipesan oleh pelanggan dan sistem elektronik berfungsi seperti yang sepatutnya. Kemudian, barulah beliau akan memulakan sesi pandu uji.

Setiap sesi pandu uji mengambil masa kira-kira lima jam dan bermula dengan perjalanan sejauh 300 km di laluan pergunungan dan jalan berbatu di sekitar Alsace.

Di sini, Jenny akan mengambil kira aspek-aspek seperti berat pedal dan stereng, dan meneliti bunyi-bunyi asing yang mungkin datang dari bahagian suspensi dan lain-lain.

Selepas itu, beliau akan menjalankan ujian dinamik berkelajuan tinggi di landasan tertutup di lapangan terbang Colmar.

Di lokasi inilah kemampuan sebenar enjin W16 itu diuji, selain komponen-komponen seperti brek, airbrake dan sistem ESP.

Fasa terakhir ujian melibatkan pemanduan secara perlahan dari Colmar balik ke Molsheim. Setibanya di kilang, mekanik akan menukar minyak transmisi, tayar dan memasang semula underbody yang asal. Ini diikuti dengan pemanduan sejauh 50km sebelum ia diluluskan.

Secara keseluruhan, setiap unit Bugatti akan melalui ujian sejauh 350 hingga 750km dan ia menjadi tanggungjawab Jenny bagi memastikan setiap kilometer dilalui tanpa sebarang isu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved