fbpx

Suzuki Every ‘Jimry’ dari T-style – Apabila Jimny ‘kacuk’ dengan van Every

t style suzuki jimry 07

NAMA Suzuki Jimny tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat kereta di seluruh dunia. Model generasi keempat, khususnya, dilihat menjadi salah satu SUV kompak yang paling popular sejak ia diperkenalkan pada 2018. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada syarikat-syarikat aftermarket yang menghasilkan kit yang diinspirasikan daripadanya.

Baru-baru ini, tuner dari Jepun iaitu T-style telah menghasilkan kit berupa Jimny khas untuk model van kompak keluaran Suzuki yang dikenali sebagai Every. Kit yang dinamakan ‘Jimry’ itu merangkumi bahagian hadapan sahaja bermakna bahagian sisi dan belakang Every akan kekal standard.

Menurut T-style, menggantikan ‘wajah’ asal Every dengan Jimny adalah mudah kerana kedua-duanya dikategorikan sebagai kei car, bermakna ukuran lebarnya hampir sama.

Namun ini tidak bermakna ia boleh dilakukan secara sembarangan kerana Every dan Jimny mempunyai ukuran tinggi dan jarak lega tanah yang berbeza. Untuk itu, T-style perlu menggunakan beberapa komponen kustom.

Gril dan lampu diambil secara terus daripada Jimny, namun bampar hadapan dihasilkan secara kustom, begitu juga dengan fender hadapan dan bonet. Walaupun begitu, rekaan komponen-komponen kustom itu tidak jauh berbeza dengan rekaan asal.

Apa yang menarik, T-style turut menawarkan penambahbaika sistem suspensi dalam bentuk lift kit untuk off-road atau gegelung sport untuk mereka yang inginkan prestasi pengendalian yang lebih mantap.

Bukan itu sahaja, terdapat juga kombo rim dan tayar, pakej perlindungan badan serta pelbagai aksesori lain termasuk khemah pop-up yang boleh diletakkan di atas bumbung.

Akhir sekali, ruang dalaman boleh dispesifikasikan dengan pelbagai jenis upholsteri kulit mengikut citarasa pelanggan. Malah, syarikat itu juga sedia untuk menukarkan ‘Jimry’ anda menjadi sebuah van camper dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat menjadi katil serta ruang storan yang terletak di bawah ruang kargo dan tempat duduk.

Kit Jimry dijual pada harga bermula dari 248,000 yen (kira-kira RM9,060), tidak termasuk aksesori lain. Difahamkan yang T-style mempunyai beberapa unit Jimry yang telah siap dimodifikasi untuk dijual menerusi laman web mereka.

Harga setiap unit berbeza namun untuk memberikan gambaran, sebuah Jimry yang lengkap dengan segala jenis aksesori berharga 2.48 juta yen (RM90,580).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved