fbpx

Rusia mahu tawar MiG-35 untuk tender jet pejuang TUDM

MiG-35

SELEPAS India, Pakistan dan Korea Selatan, Rusia pula mahu menyertai perlumbaan untuk kontrak jet pejuang Malaysia.

Dmirty Shugaev, pengarah Russian Federal Service For Military-Technical Cooperation berkata Moscow akan membentangkan sebuah jet pejuang pelbagai fungsi untuk menyertai tender Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akhir bulan ini.

“Pihak Rusia sedang mempertimbangkan kemungkinan penyertaan Rosoboronexport dengan MiG-35 untuk tender pembekalan pesawat pejuang ringan dan latihan TUDM,” kata Shugaev.

“Cadangan kami akan meletakkan Rusia dalam persaingan terus dengan Tejas India yang dibangunkan Hindustan Aeronautics Limited (HAL).”

Pesawat pejuang ringan baharu untuk Malaysia

Pada Jun lepas, Malaysia membuka tender untuk pesawat pejuang termaju dan LCA (Light Combat Aircraft).

Kementerian Pertahanan bercadang memperoleh 18 buah Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) untuk menggantikan armada 18 unit BAE Hawk 108 dan 208 (latihan dan pejuang ringan) serta 7 unit Aermacchi MB-339CM (pesawat latihan).

HAL Tejas. Sumber: Eurasian Times

Salah satu faktor utama yang mendorong Malaysia membuka tender ini adalah selepas pencerobohan ruang udara oleh China membabitkan 16 pesawat tentera di Laut China Selatan pada Jun lepas.

Pada Disember 2018, Kuala Lumpur telah membuat permintaan maklumat untuk program FLIT-LCA ini. Ia telah mendapat respon dari lapan negara membabitkan Boeing T-7 Red Hawk (AS), HAL Tejas (India), PAC JF-17 Thunder (China dan Pakistan), Hongdu L-15 (China) dan Yak-130 (Rusia).

HAL Tejas dari India berkata akan memberi respon kepada RFP (Request For Proposal) dari TUDM pada minggu ketiga September. Sementara itu, satu pencabar baharu hadir dari Rusia iaitu MiG-35.

Tejas vs MiG-35

Tejas direka untuk keperluan pertempuran moden, dengan penekanan kepada kelajuan, pecutan, maneuverabiliti dan kelincahan. Pesawat ini juga berkemampuan untuk berlepas dan mendarat di landasan pendek.

Ia turut dilengkapi sistem kawalan penerbangan fly-by-wire, radar pelbagai mod dan sistem utiliti mikroprosesor.

MiG-35. Sumber: Eurasian Times

MiG-35 pula merupakan versi eksport MiG-29M OVT (Fulcrum F), pesawat penguasaan ruang udara satu tempat duduk yang sangat lincah dan dilengkapi enjin berkuasa. Ia dikategorikan sebagai pesawat ‘peralihan generasi ke-4++’.

Pesawat sebegini juga biasanya mempunyai jangka hayat lebih panjang, dan mampu dinaiktaraf seperti pesawat generasi ke-5.

Berkenaan harga, MiG-35 bernilai USD30 juta (RM124.35 juta) seunit berbanding HAL Tejas iaitu USD43 juta (RM178.23 juta) seunit.

Malaysia dan TUDM khususnya pernah menggunakan MiG-29 sebelum ini yang telah dilucut tauliah perkhidmatan pada 2017. Jadi mungkinkan MiG-35 mempunyai kelebihan atas faktor keserasian?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved