fbpx

Audi RS3 baharu buat individu ‘gilakan’ drift, harga cecah RM310,000!

Audi RS3 akan dipasarkan di Eropah dalam waktu terdekat. - Foto ihsan Audi
Audi RS3 akan dipasarkan di Eropah dalam waktu terdekat. - Foto ihsan Audi

SAINGAN dalam segmen kereta kompak berprestasi tinggi menjadi lebih hangat dengan kehadiran Audi RS3.

Ditawarkan dalam bentuk Sedan dan Sportback, RS3 hadir dengan enjin lebih berkuasa dengan teknologi automotif terkini.

Kuasa untuk RS3 masih dibekalkan oleh enjin turbo 2.5-liter lima silinder TFSI.

Sejauh mana kuasa RS3 baharu?

Output RS3 mampu mencecah 400 PS dan 500 Nm.

Ia sekaligus menyaksikan masa pecutan 0-100 km/j berjaya disingkatkan dari 4.1 saat kepada 3.8 saat!

Dua warna iaitu Tango Red & Kyalami Green menyerlahkan aura RS3. – Foto ihsan Audi

Gabungan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro membolehkan RS3 memecut sehingga 250 km/j.

Audi juga boleh membuang pengehad kelajuan elektronik ini untuk mencapai kelajuan maksimum 280 km/j jika diminta pelanggan.

Apa yang lebih menarik, mereka yang berhati ‘kering’ boleh mendapatkan pakej RS Dynamic yang menawarkan kelajuan maksimum 290 km/j.

Prestasi yang mengagumkan ini dilengkapkan lagi dengan penggunaan sistem ekzos aktif menghasilkan tahap bunyi berbeza mengikut mod pemanduan.

Audi turut menyertakan beberapa teknologi terkini bagi memastikan kuasa yang dihasilkan itu dapat dinikmati sepenuhnya.

Yang pertama adalah RS Torque Splitter yang dibangunkan khusus untuk menyingkirkan understeer, sekaligus memberikan RS3 pengendalian lebih lincah.

Secara asasnya, ia berfungsi dengan menyalurkan tork ke roda belakang yang berada pada bahagian luar selekoh.

Sebagai contoh, ketika mengambil selekoh kiri, sistem tersebut akan menyalurkan lebih banyak tork ke roda belakang sebelah kanan. Begitu juga sebaliknya.

Dengan menggunakan teknologi ini, pemandu juga boleh melakukan aksi drift dengan selamat dengan mengaktifkan mod RS Torque Rear.

Audi mendakwa teknologi tersebut boleh menyalurkan sehingga 1,750 Nm tork ke salah satu roda belakang pada satu-satu masa.

Selain itu, ‘kaki’ track day pasti akan menyukai mod pemanduan RS Performance yang dibangunkan khas untuk beraksi di litar.

Mod ini mempunyai konfigurasi enjin dan transmisi yang sesuai untuk digunakan bersama dengan tayar semi-slick Pirelli P Zero Trofeo R yang pertama kali ditawarkan sebagai opsyen untuk RS3.

Dari segi penampilan pula, RS3 mengekalkan ‘resepi’ digunakan oleh model-model RS lain.

Ia termasuk fender yang lebih lebar, intake udara besar pada bampar hadapan serta muncung ekzos berkembar diintegrasikan ke dalam diffuser.

Rim pula didatangkan dalam saiz 19 inci dengan rekaan 10-Y spoke.

Sport rim 19 inci sangat mengagumkan! – Foto ihsan Audi

Ruang dalaman memukau!

Ruang dalaman tidak kurang hebatnya dengan kemasan karbon yang menghiasi sebahagian besar paparan pemuka.

Selain itu, tempat duduk sport juga boleh dipesan dengan balutan kulit Nappa dan jahitan kontras berwarna merah atau hijau.

Segala informasi dipaparkan pada panel instrumen digital berukuran 12.3 inci yang mempunyai grafik graf bar untuk menunjukkan tahap rpm dan peratusan untuk kuasa dan tork.

RS3 akan dibuka untuk tempahan di Eropah pada bulan ini, dengan harga bermula dari 60,000 euro (RM299,450) untuk Sportback dan 62,000 euro (RM309,430) untuk Sedan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved