Semua kiriman oleh Amirul Mukminin

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.

Polis Houston temukan kereta curi bernilai RM4.7 juta di ‘kedai potong’ kartel Mexico

HASIL siasatan selama enam bulan, Bahagian Siasatan Khas (SID) Pejabat Sheriff Harris County berjaya membuat tiga tangkapan melibatkan kartel serta menemukan sejumlah kenderaan curi bernilai $1 juta di Houston, Texas.

Menurut laporan, penangkapan dibuat di tiga ‘kedai potong’ di Houston Utara dengan bantuan daripada beberapa agensi kerajaan. Sebanyak 14 buah kenderaan curi berjaya ditemukan semula, dengan nilai keseluruhan dikatakan melebihi $1 juta.

Pihak berkuasa mendedahkan yang kebanyakan daripada kenderaan curi tersebut adalah pikap trak mewah namun jenama dan model spesifik tidak dinyatakan.

Ketiga-tiga ‘kedai potong’ tersebut didapati berselindung di sebalik perniagaan bengkel namun hakikatnya, ia menjadi lokasi di mana kenderaan curi akan dileraikan dan dijual sebagai alat ganti.

Pejabat Syerif Harris County percaya bahawa jenayah yang lebih teruk turut berlaku di lokasi-lokasi berkenaan, yang didakwa mempunyai kaitan dengan Kartel Generasi Baru Jalisco atau Cártel de Jalisco Nueva Generación (CJNG).

Foto: Pejabat Sherif Harris County

Menurut Peguam A.S. Alamdar S. Hamdani, “CJNG adalah salah satu organisasi jenayah yang paling berkuasa dan berbahaya di Mexico, bercirikan keganasan melampau dan penyeludupan bahan yang paling berbahaya.”

Buat masa ini, serbuan ini membawa kepada lima tangkapan. Mejar Paul Suarez daripada Pejabat Syerif Harris County berkata pasukan SWAT HSCO, skuad bom dan SID bekerjasam rapat dalam operasi tersebut.

“Matlamat kami bukan hanya untuk mengganggu organisasi ini tetapi untuk memusnahkannya sepenuhnya,” kata Suarez.

Selain itu, pihaknya juga sedang dalam usaha memulangkan semula kenderaan-kenderaan yang ditemukan itu kepada pemilik.

JPJ beri amaran kepada pemandu bas buat ‘live’ di TikTok

PEMANDUS bas ekspres yang didapati membuat live melalui aplikasi TikTok akan dikenakan tindakan serta-merta pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA), kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, pegawai penyamaran akan ditempatkan di dalam setiap bas ekspres bagi memastikan tiada pemandu yang melakukan kesalahan itu.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama orang awam merakam video atau gambar jika ada pemandu yang bertindak sedemikian juga sangat dialu-alukan.

“Mereka boleh menghantarkannya kepada kami berserta tarikh dan lokasi perjalanan bagi memudahkan pihak kami mengambil tindakan.

“Sebelum ini, memang ada kes seperti ini (pemandu menggunakan telefon bimbit dan membuat siaran langsung melalui TikTok) tetapi untuk Ops HRA kali ini, belum ada aduan diterima setakat ini.

“Namun jika dikesan melakukan kesalahan itu, mereka boleh diambil tindakan terus. Bagaimanapun, perjalanan tetap boleh diteruskan,” katanya kepada pemberita.

Pada operasi itu, beliau turut melakukan pemeriksaan pada bas ekspres menggunakan peralatan khusus bagi memastikan ketebalan tayar supaya tidak botak, selain lampu isyarat berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, Lokman memaklumkan sepanjang Ops HRA 2024 hingga kini, lima pemandu bas ekspres didapati positif dadah jenis methamphetamine membabitkan dua di Sarawak; Kota Bahru, Kelantan (satu); dan Alor Setar (dua).

Beliau berkata, dua pemandu berusia 31 dan 67 tahun di Alor Setar terbabit dikesan mengambil bahan terlarang itu, ketika menjalani ujian saringan air kencing secara rawak di Terminal Bas Shahab Perdana, malam tadi.

Mercedes-AMG GT63S E Performance F1 Edition – RM2.1 juta

TURUT dilancarkan bersama empat kereta Dream Cars Collection Mercedes-Benz Malaysia adalah Mercedes-AMG GT63S E Performance F1 Edition yang didatangkan dengan ciri-ciri eksklusif bagi meraikan pasukan Formula 1 jenama itu.

Bermula dengan bahagian luaran, model F1 Edition boleh dibezakan melalui cat Manufaktur Alpine Grey serta gradien warna hitam dan kelabu bersama logo AMG pada bahagian sisi.

Seperti yang boleh dilihat, gabungan warna itu dipadankan dengan aksen merah yang menghiasi keliling bahagian bawah kenderaan dan rim aloi AMG berukuran 21 inci.

Melengkapkan penampilan agresif jentera ini adalah AMG Night Package Exterior dan AMG Night Package II yang menyaksikan splitter hadapan, cermin sisi dan bingkai tingkap dicat dalam warna hitam.

Turut disertakan adalah pakej AMG Exterior Carbon-Fibre dan AMG Dynamics Plus yang menggabungkan komponen-komponen berprestasi tinggi.

Tema hitam dan merah diteruskan pada bahagian dalaman menerusi upholsteri kulit Nappa berwarna hitam yang membaluti kerusi AMG Performance, serta jahitan, tali pinggang keledar dan trim gentian karbon berwarna merah.

Selain itu, terdapat juga stereng prestasi AMG dengan balutan kulit Nappa dan mikrofiber Microcut, pelapik pintu AMG dan karpet lantai AMG. Apa yang menarik, setiap pelanggan juga akan mendapat kain penutup kereta AMG dengan logo F1.

Tiada perubahan dari segi kuasa. Seperti versi standard, GT63S E Performance F1 Edition mempunyai ‘nadi’ 4.0-liter biturbo V8 yang digandingkan dengan sistem hibrid plug-in bagi menghasilkan 843 PS dan 1,470 Nm.

Dengan bantuan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 316 km/j.

Untuk pengendalian, ia menggunakan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dan stereng gandar belakang, manakala tugas membrek pula diserahkan kepada cakera komposit seramik AMG.

Harga jualan GT63S E Performance F1 Edition bermula dari RM2,118,888 (OTR tidak termasuk insurans).

Gagal kemuka maklumat pembaikan, pemilik bengkel didenda RM4,000

SEORANG pemilik bengkel kenderaan dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Bentong atas kesalahan gagal memberikan kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan yang akan dilakukan ke atas sebuah kenderaan kepada seorang pelanggan.

Menurut laporan Malaysia Gazette, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7, Peraturan- Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002.

Tertuduh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 atau penjara dua minggu jika gagal membayarnya.

“Berdasarkan fakta kes, pasukan Pegawai Penguat kuasa KPDN Raub telah menjalankan siasatan aduan ke atas sebuah premis pada 18 Ogos 2022,” kata Pengarah KPDN Pahang, Jeslily Jamaludin.

Tambah beliau, pihak KPDN sebelum ini menerima aduan yang menyatakan premis tersebut gagal mengemukakan kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux sebelum kerja-kerja pembaikan.

Kejadian itu menyebabkan pemilik kenderaan tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan selepas kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Jeslily dalam kenyataannya mengalu-alukan pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga.

Proton catat jualan 12,666 unit pada Mac, 39,150 unit bagi Q1 2024

PROTON mengakhiri bulan Mac dengan catatan jualan sebanyak 12,666 unit bagi pasaran domestik dan eksport, sekali gus melonjakkan angka jualan suku pertama kepada 39,150 unit.

Setelah mencatat rekod jualan baharu pada tahun 2023, jumlah volum industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia dianggarkan berjumlah 202,492 unit untuk tiga bulan pertama tahun 2024, bersamaan dengan pertumbuhan 5.1%.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, pegangan pasarannya dianggarkan pada 19.3%, kedua tertinggi di antara semua jenama automotif.

Saga membuktikan ia masih mendapat permintaan kukuh dengan 18,247 unit terjual pada tiga bulan pertama tahun ini, prestasi suku pertama tertingginya dalam 12 tahun.

Pada bulan Mac, 5,906 unit Saga berjaya dijual termasuk 93 unit untuk pasaran eksport, meletakkan model itu di tempat kedua dalam pasaran sedan segmen A.

Sementara itu, sebanyak 2,072 unit S70 telah dijual (termasuk 35 unit untuk pasaran eksport) pada bulan lalu, menjadikan jumlah jualan bagi suku pertama 5,828 unit.

Bagi model-model SUV pula, bulan Mac menyaksikan X50 mencapai jualan sebanyak 1,626 unit, manakala X70 mencatat 603 unit, menunjukkan peningkatan sebanyak 35.5% berbanding bulan sebelumnya.

X90, yang juga merupakan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama Proton, mengekalkan kedudukan kukuhnya di
pasaran SUV segmen D dengan 326 unit diserahkan kepada pelanggan pada bulan Mac.

Persona dan Iriz pula masing-masing merekodkan jualan sebanyak 1,665 unit dan 468 unit pada bulan Mac. Ini menjadikan jumlah jualan suku pertama meningkat kepada 5,370 unit bagi Persona dan 1,534 unit bagi Iriz.

“Suku pertama tahun 2024 berakhir secara positif untuk Proton. Tanpa faktor luaran yang meggalakkan pertumbuhan jualan tahun ini, angka yang dicapai menawarkan bacaan permintaan pasaran yang lebih tepat. Industri automotif di Malaysia terus rancak dan ini terbukti dengan pertumbuhan keseluruhan dalam TIV,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

UMW Toyota Motor jual 9,688 unit kenderaan pada Mac

UMW Toyota Motor (UMWT) menutup tirai Mac 2024 dengan jualan sebanyak 9,688 unit iaitu 9,471 unit bagi kenderaan jenama Toyota dan 217 unit bagi Lexus.

Dengan pencapaian positif ini, jualan tahunan (YTD) UMWT setakat ini telah mencecah 23,444 unit.

Dalam menuju ke arah mobiliti mampan, UMWT baru-baru ini menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan menyerahkan sebuah sedan yang dikuasakan hidrogen iaitu Toyota Mirai.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen lebih meluas terhadap neutraliti karbon, sejajar dengan
Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

Menurut UMWT, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berpeluang memandu uji Toyota Mirai tersebut bersama dengan Menteri MOSTI, Chang Lih Kang.

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K. berkata pihaknya percaya dalam menawarkan pelbagai pilihan ke arah neutraliti karbon, di mana pihaknya menawarkan penyelesaian elektrifikasi berbeza termasuk tenaga alternatif yang lebih bersih.

“Peranan kami melangkaui pengilangan, kami melihat diri kami sebagai rakan dalam perjalanan Malaysia ke arah masa depan yang mampan dan mesra alam. Kami komited untuk terus memupuk dunia yang lebih mampan, hijau dan terhubung, sejajar dengan slogan ‘Move Your World’ kami,” tambah beliau.

Dalam sektor komersial, UMWT baru-baru ini melancarkan Toyota HiAce Panel Van 3.0L baharu yang hadir dengan pelbagai ciri menarik termasuk enjin turbodiesel yang menghasilkan 136 PS/300 Nm, serta ruang barangan sepanjang 2.9 meter.

Selain itu, UMWT juga telah membuka tempahan untuk Toyota HiAce Super Long Wheelbase (SLWB) yang menawarkan ruang yang lebih luas untuk penumpang dan kargo. Ia dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.7-liter yang mampu menjana kuasa sebanyak 177 PS dan 450 Nm.

Sempena sambutan Hari Raya, syarikat itu memperkenalkan promosi “Kegembiraan Aidilfitri Bersama Toyota” bagi bulan April 2024 yang menawarkan pembiayaan sehingga 100% untuk model terpilih. Penjimatan sehingga RM7,500 untuk Yaris turut ditawarkan.

Pro-Net terima pinjaman RM200 juta daripada CIMB

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) mengumumkan ia telah memperoleh pembiayaan sebanyak RM200 juta daripada CIMB Bank Berhad untuk pembiayaan inisiatif mobiliti hijau dan import dan pengedaran smart #1 di Malaysia.

Pro-Net adalah pengimport dan pengedar sah eksklusif untuk kenderaan smart di Malaysia dan Thailand. Dilancarkan pada November 2023, smart #1 merupakan model pertama yang dijual oleh Pro-Net. Ia dibina di atas Seni Bina Elektrik Lestari Geely (SEA) dan digayakan oleh Mercedes-Benz.

Dengan ekosistem yang merangkumi 13 lokasi cawangan pengedar, perkhidmatan selepas jualan, serta aplikasi digital ‘Hello smart’ dengan akses kepada lebih 70% rangkaian pengecasan awam, Pro-Net menawarkan penyelesaian mobiliti elektrik holistik bersama-sama dengan jaminan pelan perkhidmatan pelanggan yang mantap.

Syarikat itu juga bertanggungjawab untuk memenuhi komitmen Proton terhadap agenda kenderaan elektriknya dan bersedia memainkan peranan penting apabila ia memimpin peralihan ke arah pengeluaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) dan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

Roslan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, menyatakan, “Pengiktirafan dari CIMB terhadap peluang pasaran serta pendekatan proaktif mereka dalam menyokong inisiatif pengembangan kami menunjukkan jenis perkongsian yang amat kami hargai di PRO-NET.”

Menurut Roslan, pembiayaan berkenaan akan digunakan untuk meningkatkan ekosistem digital serta rantaian bekalan dalam infrastruktur EV, serta mengembangkan rangkaian untuk pengalaman runcit yang lebih lancar.

Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong Kumpulan, CIMB Group, menyatakan, “Kami dengan penuh sukacita menyokong PRO-NET dalam memajukan inisiatif mobiliti hijau. Urus niaga ini menekankan komitmen CIMB dalam menyokong pelanggan di pelbagai industri untuk memajukan agenda ESG mereka dan menyumbang kepada impak positif melalui penyelesaian kewangan yang mampan.

“Langkah ini selaras dengan aspirasi CIMB Group untuk menjadi bank utama di ASEAN dan menjadi peneraju dalam kelestarian di rantau ini, seperti yang dinyatakan dalam pelan strategik Forward23+ kami.”

CIMB telah melancarkan rangkaian penyelesaian kewangan EV yang komprehensif untuk merangsang penggunaan EV dan menyokong peralihan ke arah mobiliti mampan di seluruh ASEAN.

Penyelesaian ini merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk kadar pembiayaan kereta utama, perlindungan insurans, dan pelbagai keistimewaan eksklusif lain yang memudahkan pengguna dalam setiap aspek memiliki EV.

Sebagai perantara kewangan yang berusaha mencapai tujuan berkelanjutan, CIMB Group terus memperkukuhkan inovasi dalam kemampanan untuk mencapai sasaran kewangan mampan sebanyak RM100 bilion menjelang 2024 di bawah Rangka Kerja Produk dan Perkhidmatan Hijau, Sosial, Impak Mampan (GSSIPS) Kumpulan.

Mercedes-Benz GLS 450 4Matic facelift dilancarkan – RM1 juta

MAYBACH GLS 600 terlalu mahal? Jangan risau, pelanggan yang inginkan Mercedes-Benz GLS masih boleh mendapatkan varian GLS 450 4Matic versi facelift yang telah dikemas kini dari segi rekaan luaran dan dalaman, telematiks dan sistem pacuan.

Untuk bahagian luaran, GLS 450 tampil dengan gril yang menonjol dengan empat jeriji melintang yang dicat dalam warna Silver Shadown, serta gril liang udara dengan bingkai hitam berkilat pada bahagian bampar.

Model ini didatangkan standard dengan pakej AMG Line, rim multi-spoke AMG berukuran 22 inci dan lampu hadapan Multibeam LED. Ia boleh didapati dalam pelbagai warna termasuk warna baharu Sodalite Blue Metallic dan Manufaktur Alpine Grey Solid.

Turut disertakan adalah sistem suspensi Airmatic, bilah pengelap cermin Magic Vision Control, pintu soft close dan Guard 360° yang bertindak untuk memantau keadaan sekeliling kenderaan bagi tujuan keselamatan.

Di dalam, terdapat sistem infohibur MBUX yang membawakan paparan dalam rekaan baharu, serta sistem hiburan tempat duduk belakang (MBUX High-End Rear Seat Entertainment System) yang merangkumi dua skrin sentuh 11.6 inci untuk menonton filem atau melayari Internet.

Untuk upholsteri, stereng dibalut kulit Nappa, tempat duduk dibalut kulit berwarna hitam, manakala papan pemuka dan beltline menampilkan balutan Artico. Trim kayu walnut pula menaikkan seri papan pemuka dan konsol tengah.

Di samping kusyen aktif, fungsi urutan, pemanas dan penyejuk pada tempat duduk, ciri-ciri seperti Energizing Air Control dan Driving Assistance Package turut disertakan.

GLS 450 dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris berkapasiti 3.0-liter yang mampu menghasilkan 381 PS dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 500 Nm pada 1,800 rpm. Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 20 PS dan 200 Nm.

Walaupun mempunyai berat sekitar 2.5 tan, SUV bersaiz penuh ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Untuk memudahkan pemanduan, GLS 450 didatangkan dengan Active Parking Assist dengan Parktronic, serta Parking Package dengan kamera 360 darjah yang menawarkan pandangan ‘bonet telus’ dalam mod Off-Road.

Harga jualan GLS 450 4Matic bermula dari RM999,888 (harga atas jalan tidak termasuk insurans, dengan cukai jualan 10%).

Mercedes-Benz CLE buat kemunculan di Malaysia – RM526k

MERCEDES-Benz Malaysia baru-baru ini mempertontonkan Mercedes-Benz CLE, yang secara asasnya merupakan pengganti kepada C-Class Coupe dan E-Class Coupe yang ditawarkan sebelum ini.

Untuk pasaran Malaysia, ia akan ditawarkan dalam varian CLE 300 4Matic Coupe, dengan harga anggaran RM526,000.

Dari segi dimensi, model ini mempunyai ukuran panjang 4,850 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,428 mm, dengan jarak roda 2,865 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding C-Class Coupe.

Jika dibandingkan dengan E-Class Coupe pula, badan CLE sedikit lebih panjang dan rendah, namun jarak rodanya sedikit lebih pendek.

CLE 300 akan didatangkan standard dengan lampu hadapan Digital Light yang berfungsi seperti projektor dan boleh bertindak balas dengan perubahan keadaan trafik, jalan atau cuaca.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan pakej AMG Line dan Night Package, rim multi-spoke AMG berukuran 19 inci dan bumbung panoramik.

Sama seperti C-Class, ruang dalaman CLE menampilkan panel instrumen digital berukuran 12.3 inci dan paparan tengah 11.9 inci yang diposisikan dalam format potret dan dihalakan enam darjah ke arah pemandu.

Upholsteri Artico menghiasi panel instrumen manakala kulit Nappa pula membaluti stereng sport multifungsi dan tempat duduk hadapan. Sistem audio Burmester 3D dengan 17 pembesar suara dan pencahayaan ambien turut disertakan.

Selan itu, terdapat juga fungsi penyejuk dan pemanas pada tempat duduk hadapan, sokongan lumbar empat hala dan fungsi memori yang boleh digunakan untuk menyimpan sehingga tiga tetapan pemandu.

Menurut Mercedes-Benz, CLE menawarkan ruang kabin yang lebih luas berbanding C-Class Coupe. Penumpang belakang menikmati ruang kepala 10 mm lebih luas, ruang bahu dan siku 19 mm lebih lebar dan ruang lutut 72 mm lebih besar.

Di bawah bonet, terdapat enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan kuasa berjumlah 258 PS pada 5,800 dan 400 Nm dari 2,000 hingga 3,200 rpm. Ia digandingkan dengan sistem mild hybrid yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 17 PS dan 205 Nm.

Dengan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan 4Matic, CLE 300 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j 6.2 saat. Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Akhir sekali, untuk sistem bantuan pemandu, model ini disertakan sekali dengan Driving Assistance Package Plus, Active Distance Assist Distronic, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Memory Parking Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic, kamera 360 darjah, dan Guard 360°.

Mercedes-AMG S63 E Performance tiba di Malaysia dengan 802 PS, 1,430 Nm!

Selain Maybach GLS 600, jentera berprestasi tinggi Mercedes-AMG S63 E Performance turut dilancarkan sebagai sebahagian daripada koleksi Dream Cars yang dibawakan oleh Mercedes-Benz Malaysia.

S63 dipacu enjin 4.0-liter biturbo V8 yang digandingkan dengan sistem hibrid bagi menghasilkan output keseluruhan sebanyak 802 PS dan 1,430 Nm, sekali gus menjadikannya S-Class paling berkuasa pernah dibina.

Dengan transmisi AMG Speedshift sembilan kelajuan dan sistem pacuan AMG Performance 4Matic+, sedan mewah ini hanya memerlukan 3.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Menariknya, S63 didatangkan dengan bateri prestasi tinggi (HPB) AMG berkapasiti 13.1 kWj yang menawarkan jarak pandu elektrik sehingga 31 km. Bateri HPB itu menyokong pengecasan AC dengan kapasiti 3.7 kW.

Kelengkapan standard untuk bahagian luaran termasuk lampu Digital Light dengan Adaptive High Beam Assist Plus, pakej AMG Night yang merangkumi komponen berwarna hitam dan trim elemen krom hitam, serta rim tempaan AMG berukuran 21 inci.

Di dalam, terdapat stereng AMG yang dibalut kulit Nappa, trim kayu Anthracite, panel pintu AMG, karpet AMG, bumbung panoramik dan sistem pencahayaan ambien.

Sistem infohibur pula merangkumi paparan OLED 12.8 inci, panel instrumen 12.3 inci, head-up display, sistem audio Burmester 3D dan sistem hiburan tempat duduk belakang.

Selain itu, S63 turut dilengkapi dengan brek komposit prestasi tinggi, sistem suspensi AMG Active Ride Control dan ciri-ciri keselamatan seperti Driving Assistant Package, Parking Package, Pre-Safe Plus dan Pre-Safe Impulse Side.

S63 E Performance dijual pada harga bermula dari RM2,238,888.

Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic dilancarkan – dari RM1.9 juta

RANGKAIAN model Dream Cars Collection Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini diperluaskan lagi dengan ketibaan empat model serba baharu.

Yang pertama adalah SUV bersaiz penuh ultra-mewah iaitu Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic, yang dijual pada harga bermula dari RM1,918,888.

Model ini boleh dibezakan dengan versi standard menerusi bar krom melintang, tulisan Maybach, logo Maybach pada gril liang udara, serta rim tempaan multi-spoke berukuran 23 inci.

Bukan itu sahaja, model ini juga boleh didapati dalam pelbagai warna termasuk warna dua tona yang sinonim dengan jenama mewah itu.

Antara kelengkapan yang diberikan secara standard termasuk lampu Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus dan bumbung suria panoramik. Turut disertakan adalah pintu soft-close.

Ruang kabin dijelmakan menjadi lebih mewah dan eksklusif menerusi pakej julit Manufaktur, yang membawakan kulit Nappa pada kerusi dan pelapik bumbung, serta jahitan corak berlian berkualiti tinggi pada kerusi.

Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan gabungan warna Manufaktur Crystal White/Silver Grey Pearl atau Mahogany Brown/Machhiato Beige yang ditawarkan secara eksklusif untuk model Mercedes-Maybach.

Khas untuk penumpang belakang adalah sepasang kerusi Executive yang dilengkapi dengan perehat kaki dan fungsi urut. Penumpang dipisahkan dengan konsol tengah yang menempatkan pemegang cawan dan peti sejuk mini.

Tidak cukup dengan itu, keselesaan penumpang dijamin dengan pencahayaan ambien yang mewarnai setiap sudut ruang kabin termasuk pelapik bumbung, serta pakej Acoustic Comfort yang boleh mengurangkan bunyi bising.

Sistem multimedia MBUX membawakan Widescreen Cockpit yang terdiri daripada panel instrumen dan skrin sentuh, head-up display dengan navigasi realiti terimbuh (AR), serta dua paparan 11.6 inci dan tablet untuk penumpang belakang.

Maybach GLS 600 dikuasakna oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang menghasilkan 557 PS pada 6,000 rpm dan 770 Nm tork dari 2,500 hingga 4,500 rpm. Ia dibantu oleh sistem mild hybrid dengan motor elektrik yang mampu menjana 22 PS dan 250 Nm.

Menurut Mercedes-Benz, SUV besar ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Untuk casis, model ini menggunakan gabungan sistem suspensi udara Airmatic dan E-Active Body Control untuk pemanduan yang selesa.

Ia juga mempunyai Magic Vision Control yang menggunakan bilah pengelap cermin yang dipanaskan untuk pandangan yang lebih jelas.

Sistem keselamatan dan bantuan pemanduan pemandu pula merangkumi ciri-ciri Guard 360°, Driving Assistance Package, Mirror Package, Active Distance Assist Distronic, Parking Package dengan kamera 360 darjah dan Pre-Safe Impulse Side.

Proton sumbang buku, RM10,000 dana zakat kepada SMK Proton City

Sempena bulan Ramadan, Proton menunjukkan komitmennya terhadap pendidikan dan kebajikan masyarakat dengan dua inisiatif yang memberikan impak positif.

Pengeluar kereta nasional itu telah menyumbangkan koleksi bahan bacaan kepada SMK Proton City di Tanjong Malim dan memperuntukkan dana Zakat sebanyak RM10,000 untuk menaik taraf kemudahan surau di dalam premis sekolah.

Sumbangan itu terdiri daripada pelbagai bahan bacaan pendidikan termasuk buku rujukan hingga kesusasteraan yang diperoleh melalui kempen derma buku antara syarikat dengan lebih daripada 500 buku-buku disumbangkan oleh kakitangan Proton.

Menurut Proton, ini sejajar dengan visinya untuk memperkasakan generasi muda melalui pengetahuan dan pembelajaran. Syarikat juga berhasrat kempen ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk cemerlang dalam akademik dan mengejar aspirasi mereka.

“Di Proton, kami percaya dalam transformatif pendidikan. Dengan memberikan akses rangkaian buku yang lebih luas kepada pelajar, kami yakin dapat memberi inspirasi kepada pelajar dan membolehkan perjalanan pendidikan mereka ke ara penemuan diri dan mengejar kerjaya masa depan mereka,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Pengetua SMK Proton City, Zalina Ahmad berkata pihak sekolah dan Proton mempunyai hubungan yang rapat dengan kira-kira 200 pelajar daripada keluarga pekerja Proton.

“Selama ini, Proton, Kesatuan Sekerja dan kakitangannya telah menyokong sekolah dan hari ini, kami amat berterima kasih atas sumbangan buku yang begitu banyak sekali. Sumber-sumber ini akan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar kami dan menyumbang kepada pertumbuhan akademik mereka,” kata beliau.

Sementara itu, dana zakat sebanyak RM10,000 yang disumbangkan kepada surau SMK Proton City akan digunakan untuk kerja-kerja penambahbaikan, termasuk pemasangan bumbung dan mozek lantai untuk bahagian solat wanita.

“Proton akan terus berdedikasi kepada aktiviti tanggungjawab sosial korporat dan misinya untuk memacu perubahan positif dalam komuniti yang kami beroperasi. Dengan melabur dalam pendidikan dan kebajikan masyarakat, kami berhasrat untuk memperkasakan individu, memartabatkan masyarakat, dan membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” tambah Roslan Abdullah.

BMW iX2 xDrive30 kini dibuka untuk tempahan – RM283k

BMW Malaysia hari ini mengumumkan model Sports Activity Coupe Elektrik iaitu BMW iX2 kini boleh ditempah dengan harga bermula dari RM282,800.

Untuk pasaran Malaysia, iX2 didatangkan dalam varian xDrive30 yang menyaksikan ia menerima satu motor elektrik pada setiap gandar.

Gandingan berkenaan menghasilkan 313 PS (230 kW) termasuk boost sebanyak 7 PS (5 kW), membolehkan crossver elektrik ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

Bateri voltan tinggi berkapasiti 66.5 kWj yang diletakkan di bahagian lantai menawarkan jarak pandu sejauh 449 km. Pengecas AC 11 kW membolehkan bateri dicas dari 0 hingga 100% dalam 6 jam 30 minit, manakala pengecas DC yang boleh menampung maksimum 130 kW memerlukan 29 minit sahaja.

iX2 mendapat wajah yang garang menerusi gril kidney dengan rekaan tertutup, gril mesh hitam, bingkai hitam berglos tinggi dengan pencahayaan dan lampu hadapan LED adapatif dengan pancaran BMW Selective.

Selain itu, penampilannya diserlahkan lagi menerusi trim M high-gloss Shadow Line dan rim aloi M dwi warna berukuran 20 inci.

Seperti model-model iX yang lain, ruang dalaman iX2 menampilkan paparan melengkung BMW Curved Display yang dikuasakan oleh BMW Operating System 9. Ia terdiri daripada dua skrin iaitu kluster instrumen digital 10.25 inci dan skrin tengah 10.7 inci.

Sistem ini menampilkan paparan BMW iDrive dengan BMW Intelligent Personal Assistant dan sistem kawalan dengan fungsi QuickSelect yang berasaskan Android Open Source Project (AOSP).

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk pengecas wayarles dengan sistem penyejukan, panel kawalan integrasi pada perehat tangan, pintu but automatik dan sistem audio Hi-Fi Harman Kardon.

Melengkapkan ruang kabin iX2 adalah tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang hadapan, tempat duduk konfigurasi 40:20:40 di belakang, serta stereng multifungsi M yang dibalut kulit.

Menurut BMW, iX2 menggabungkan ciri sporty dan keselesaan dengan galas penstabil yang dinaik taraf, anti-roll bar, sistem suspensi adaptif M, stereng M Sport dan sistem brek M Sport.

Dari segi sistem bantuan pemandu pula, terdapat ciri-ciri seperti Active Guard Basis, Driving Assistant Plus dan Parking Assistant Plus. Attentiveness Assistant turut disertakan.

Active Guard Basis menawarkan sistem Lane Departure, Front Collision dan Left Turning Warnings, dengan intervensi stereng aktif dan fungsi pembrekan.

Sementara Driving Assistant Plus yang berasaskan kamera dan radar membawakan Active Cruise Control, Steering and Lane Control Assistant, Speed Limit Info and Assist, dan Lane Departure Warning. Parking Assistant Plus pula dilengkapi dengan paparan 3D jarak jauh, perakam pandu dan anti-kecurian.

iX2 xDrive30 boleh didapati dalam warna Alpine White, Black Sapphire, Skyscraper Grey, Cape York Green, Fire Red, M Portimau Blue, dan M Brooklyn Grey.

Untuk ruang dalaman, pelanggan boleh memilih upholsteri alternatif kulit Veganza dalam warna hitam M Alcantara dan sulaman berkontras biru, Perforated Black, Perforated Coral Red/Black, Perforated Atlas Grey/Smoke White, dan Perforated Mocha.

Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan pakej tambahan Inklusif Servis & Pembaikan BMW yang meliputi pakej servis dan waranti lima tahun pada harga RM14,200.

Formula 1 jalin kerjasama dengan Playseat, hasil barangan eksklusif untuk gamers!

FORMULA 1 baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan jenama perlumbaan simulator terkemuka Playseat bagi menghasilkan barangan dan produk eksklusif F1 khas untuk gamer dan pelumba sim.

Playseat yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman akan membangunkan pelbagai kelengkapan premium untuk pemain kasual dan profesional, seperti kerusi dan juga simulator.

Syarikat itu bekerjasama rapat dengan pemandu F1 dan pelumba sim profesional untuk menghasilkan tempat duduk yang seakan-akan kokpit Formula 1 sebenar menggunakan teknologi dan peralatan canggih.

Produk pertama yang akan ditawarkan merupakan tempat duduk Playseat Formula Intelligence – F1 Edition yang boleh didapati di pasaran bermula 16 April pada harga 2,499 euro (RM12,737).

Seperti yang boleh dilihat, rekaan kerusinya tidak ubah seperti kerusi yang digunakan pada jentera lumba Formula 1 yang sebenar. Ia dibalut upholsteri kulit PU berwarna hitam.

Kerusi ini didatangkan dengan rangka utama yang diperbuat daripada keluli tiub, bersama dengan base plate yang boleh memuatkan pelbagai jenis stereng direct drive dan set pedal. Turut disertakan adalah rangka untuk memasang monitor.

Dari segi dimensi, ia mempunyai ukuran panjang 168 cm, lebar 61.5 cm dan tinggi 73.5 cm. Berat keseluruhannya adalah sekitar 50 kg.

Playseat menggunakan teknologi Forcelock yang membolehkan pengguna membuat pelarasan dengan cepat dan mudah. Ciri ini direka untuk pemandu dari pelbagai peringkat umur dan saiz badan.

Menurut laman web syarikat itu, pemandu disarankan mempunyai ketinggian minimum 120 cm dan maksimum 220 cm, dengan berat badan dari 20 kg hingga 120 kg.

Menariknya, kerusi Formula Intelligence ini sesuai untuk semua jenis konsol. Selain Formula 1, ia juga sesuai untuk perlumbaan lain yang melibatkan kereta tempat duduk tunggal seperti Formula E, Formula Ford dan Indycar.

SYM Maxsym TL508 dilancarkan pada harga RM46,888

SELAIN Husky 150, MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi motosikal SYM di Malaysia turut melancarkan satu lagi skuter iaitu Maxsym TL508.

Menurut SYM, model baharu ini tampil dengan enjin yang telah dipertingkatkan berbanding enjin 465 cc pada Maxsym TL500 yang dilancarkan pada 2020.

Enjin silinder berkembar berkapasiti 508 cc dengan teknologi suntikan bahan api itu mampu menghamburkan 45 hp pada 6,750 rpm dan 49.9 Nm pada 5,250 rpm.

Menariknya, skuter maxi ini dikatakan mempunyai pengagihan berat yang seimbang antara bahagian hadapan dan belakang iaitu 50/50.

SYM berkata konfigurasi badan yang sempurna ini memberikan Maxsym TL508 prestasi pengendalian yang cemerlang.

Dari segi kelengkapan pula, ia hadir dengan pelbagai ciri canggih termasuk sistem Traction Control (TCS), brek anti-kunci (ABS) dwi-saluran dan penghadang angin boleh laras.

Skuter ini juga sesuai untuk tunggang jarak jauh kerana reka bentuk tempat duduknya yang ergonomik dan anti gelincir memberi sokongan pada bahagian pinggang penunggang dan penumpang.

Tidak cukup dengan itu, ia juga mempunyai lampu hadapan dan belakang LED, paparan TFT, port pengecas USB dan tangki bahan api sebesar 12.5 liter. Barang boleh disimpan di dalam ruang simpanan di bawah tempat duduk.

 

Maxsym TL508 ditawarkan dalam tiga warna iaitu Indigo Blue, Storm Grey dan Jet Black. Ia dijual pada harga bermula dari RM46,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan boleh didapati di pasaran bermula Mei depan.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

SYM Husky 150 kini masuk pasaran Malaysia – dari RM9,998

MForce Bike Holdings telah melancarkan model skuter yang ditunggu-tunggu iaitu SYM Husky 150.

Ia boleh didapati dalam varian Standard pada harga RM9,998 dan Special Edition pada harga RM10,298. Terdapat empat pilihan warna iaitu Ebony Black dan Pure White untuk Standard, serta Matte Green dan Wolf Grey untuk Special Edition.

Skuter yang mempunyai ciri-ciri pengembaraan ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal bersesaran 150 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 14.5 hp pada 8,000 rpm dan 14.5 Nm pada 6,000 rpm.

Walaupun berkapasiti kecil, Husky 150 sarat dengan ciri-ciri keselamatan terkini seperti sistem Traction Control (CTS) dam sistem brek anti-kunci (ABS) dwi-saluran.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak tunggal di belakang. Menurut SYM, tangki bahan api 15 liter dapat mengurangkan kekerapan berhenti untuk pengisian semula.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu hadapan dan belakang LED, lampu membelok LED, sistem tanpa kunci dan mod pencucuhan kecemasan yang membolehkan anda menghidupkan enjin walaupun bateri kunci lemah.

Turut disertakan adalah panel instrumen TFT berukuran lima inci yang mempunyai ciri pemalap automatik dan dua mod paparan iaitu siang dan malam. Penunggang boleh mengecas telefon pintar mereka menggunakan port pengecas USB 3.0 yang disediakan.

Husky 150 boleh didapati di mana-mana pengedar sah SYM di seluruh Malaysia bermula 2 April 2024. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

WTCA, GAC Motor meterai MoU pemasangan model CKD di Malaysia

WTC Automotif (WTCA), sebuah anak syarikat Warisan TC Holdings Bhd, dan GAC Motor International baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan untuk dua projek pemasangan tempatan (CKD) baharu di Malaysia.

MoU berkenaan akan memudahkan kajian ke atas produksi CKD model Emkoo pemanduan sebelah kanan untuk pasaran Malaysia dan GS3 Emzoom pemanduan sebelah kiri untuk dieksport ke Vietnam.

Jika direalisasikan, usaha bersama ini akan mengukuhkan peranan penting Malaysia dan WTCA sebagai rakan kongsi strategik untuk strategi pertumbuhan serantau GAC melalui peluang pengeluaran dan pembuatan CKD setempat.

Sebagai rakan kongsi strategik GAC, WTCA bersedia memanfaatkan pengalaman automotif, keupayaan, dan ekosistem perindustrian Malaysia dengan GAC Motor International untuk menyampaikan penyelesaian mobiliti GAC untuk pasaran ASEAN.

Kajian kebolehlaksanaan itu dijangka akan disiapkan menjelang akhir Julai. Apabila siap, ia akan membuka jalan kepada pemformalan perjanjian muktamad, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif untuk pasaran Asia Tenggara.

Tambahan pula, eksport GAC GS3 Emzoom ke pasaran Vietnam akan memainkan peranan penting dalam rancangan pengembangan serantau WTCA.

Melengkapkan strategi pertumbuhan serantau, GAC dan WTCA turut merasmikan kerjasama teknikal mereka melalui Perjanjian Kerjasama Teknikal CKD.

Perjanjian ini memberikan WTCA hak untuk memasang kenderaan GAC secara tempatan menggunakan kit dan komponen CKD yang dihasilkan mengikut spesifikasi teknikal global dan standard kualiti GAC yang ketat.

Selain itu, WTCA, melalui Perjanjian Pengedarannya, diamanahkan untuk memasarkan, mengedar dan menyelenggara kenderaan GAC.

Kerjasama dengan WTCA ini menandakan projek CKD pertama GAC di pasaran luar negara, melambangkan langkah penting ke arah memperkukuhkan kehadirannya di peringkat global.

Kerjasama teknikal antara GAC dan WTCA membuahkan hasil dengan bermulanya CKD Start of Production (SOP) untuk GS3 Emzoom di kilang WTCA di Segambut. Pencapaian ini dicapai dalam masa 13 bulan berikutan pengumuman projek.

Kini, pengeluaran CKD GS3 Emzoom telah beralih ke peringkat Pengeluaran Penuh (Full Production).

Perincian cukai jalan EV di peringkat akhir – Anthony Loke

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata kementeriannya kini di peringkat akhir perincian bagi kadar cukai jalan atau lesen kenderaan motor (LKM) untuk kenderaan elektrik (EV) dan ia dijangka diumumkan bulan depan, kata Menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook.

Menurut Loke, perincian itu ialah untuk menjadikan EV menarik dan lebih murah berbanding kenderaan jenis enjin pembakaran dalaman (ICE). Ia dijangka diumumkan bulan depan.

“Cabaran yang dihadapi dalam proses perincian sekarang ialah perbandingan kapasiti (CC) kereta ICE dengan EV. Sekarang (pengguna EV) tak payah bayar cukai tapi pembeli EV bimbang cukai yang akan dikenakan jauh lebih tinggi berbanding kereta ICE.

“Komitmen kerajaan sekarang ialah untuk merendahkan cukai berkenaan supaya pembeli EV dapat kadar cukai jalan EV yang berpatutan, jadi diharapkan perincian cukai jalan EV dapat diumumkan sebelum akhir April nanti supaya kadar cukai jalan (EV) yang dibayar masih berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Warisan Tan Chong Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) dan Guangzhou Automotive Group (GAC) Motor International Co Ltd (GAC Motor International) pada Sabtu.

Pada majlis berkenaan, WTCA dan GAC Motor International memeterai perjanjian bagi memulakan kebolehlaksanaan dua projek pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

Lencana Volkswagen Roobadge bantu elak perlanggaran dengan kanggaru

VOLKSWAGEN mengumumkan yang ia sedang melaksanakan ujian percubaan untuk Roobadge, lencana yang direka khas untuk mengurangkan risiko perlanggaran antara pemandu dan kanggaru.

Harapnya ini bukanlah jenaka April Fool dari jenama itu. Di Australia, kanggaru merupakan antara ancaman terbesar kepada pemandu dengan 90% kes perlanggaran dengan hidupan liar melibatkan haiwan jenis marsupial itu.

Menurut Volkswagen, pembangunan Roobadge bermula kira-kira tiga tahun lalu dengan kerjasama pakar tingkah laku kanggaru dari University of Melbourne dan organisasi penyelamat hidupan liar WIRES.

Roobadge secara asasnya adalah pembesar suara elektronik yang boleh mengeluarkan bunyi-bunyi seperti bunyi burung, haiwan pemangsa dan juga hentakan kaki kanggaru untuk menghalau kanggaru.

Peranti itu boleh disambungkan kepada aplikasi dalam kereta yang akan mengaktifkannya secara automatik setiap kali kenderaan memasuki lokasi hotspot yang dikenali pasti kerap berlaku perlanggaran dengan haiwan berkenaan.

Apa yang menarik, bunyi yang dihasilkan berbeza mengikut spesis kanggaru yang mendiami kawasan berkenaan. Roobadge akan menentukan bunyi yang perlu dikeluarkan menggunakan GPS dan data yang dibekalkan oleh WIRES.

Untuk fasa ujian ini, Volkswagen memasang Roobadge pada trak pikap Amarok secara plug-and-play. Pada mulanya, teknologi ini diuji di padang-padang golf di mana kanggaru sudah biasa dengan kehadiran manusia.

Selepas itu, beberapa unit Amarok diletakkan di lokasi-lokasi di mana kanggaru liar berhijrah untuk merakamkan reaksi haiwan itu setiap kali bunyi dihasilkan.

Untuk peringkat seterusnya, trak pikap berkenaan dipandu pada kelajuan rendah untuk mengumpul lebih banyak data mengenai keberkesanan bunyi-bunyi yang dihasilkan.

Selain lencana, Volkswagen juga sedang membangunkan pemegang nombor plat dengan teknologi sama yang boleh dipasang pada semua jenis kenderaan, tidak kira jenama.

Bukan itu sahaja, syarikat itu juga dalam perbincangan dengan rakan kongsi di luar negara untuk membangunkan Roobadge untuk haiwan-haiwan lain.

Land Rover Defender Octa – varian paling power yang akan diperkenalkan tahun ini

BARISAN Land Rover Defender bakal diperluaskan tidak lama lagi dengan varian berprestasi tinggi baharu yang dikenali sebagai Defender Octa.

Menurut Land Rover, nama Octa diinspirasikan daripada bentuk oktahedron berlian, yang merupakan antara bahan paling keras yang wujud secara semulajadi.

Defender Octa bakal menduduki takhta sebagai Defender yang paling lasak dan paling berkuasa setakat ini dengan enjin V8 twin turbo mild-hybrid.

Perincian teknikal model ini masih belum diumumkan namun ura-ura mengatakan bahawa enjin berkenaan adalah enjin 4.4-liter yang digunakan oleh Range Rover SV baharu yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Untuk model berkenaan, enjin yang dihasilkan oleh BMW itu mempunyai kuasa sebanyak 635 PS dan 750 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 290 km/j.

Defender Octa juga akan didatangkan dengan sistem suspensi udara 6D Dynamics. Ia mempunyai sistem kawalan pitch and roll tercanggih yang bertindak untuk mengekalkan kestabilan kenderaan ketika memecutan, membrek dan mengambil selekoh, sambil mengekalkan jarak pergerakan roda maksimum ketika pemanduan off-road.

Selain itu, berdasarkan gambar teaser rasmi yang disiarkan, model ini juga dilengkapi dengan sistem brek Brembo.

Dari segi penampilan, Defender Octa dengan varian-varian Defender yang lain menerusi lencana-lencana berbentuk berlian pada bahagian luaran. Di dalam, terdapat logo berlian bercahaya pada bahagian bawah stereng.

Model ini bakal diperkenalkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. Ia kini sedang menjalani fasa ujian yang dikatakan yang paling sukar dalam sejarah Defender, yang diadakan di beberapa lokasi di seluruh dunia termasuk Sweden, Dubai, Nurburgring dan Moab.